Apa yang Anda Cari ?

Saturday, 20 September 2014

MAKAN MAKANAN YANG SIHAT UNTUK KEKAL CERGAS


GAYA hidup yang sibuk membuatkan anda tidak duduk diam sepanjang hari. Anda rasa puas bila dapat mambahagikan masa antara kerja dan peribadi. 

Anda berkejar ke sana sini untuk menguruskan hal kerja dan keluarga. Untuk memastikan anda bertenaga untuk melakukan kesemuanya, pasti anda akan mengisi perut dengan apa sahaja yang ada dan yang cepat.  

Namun, ada kalanya anda merasa terlalu letih hingga tidak berdaya untuk membuka mata, apatah lagi untuk bangun dari katil. 

Keadaan ini membuat anda tertekan (stress), lesu dan murung. Selalunya, anda juga merasakan seperti tidak ingin bangun dari katil. Mahu berehat dan berehat dan berehat..

Mengapa keadaan sedemikian berlaku? 

Anda makan hingga kenyang, tetapi mengapa masih kurang bertenaga? 

Makanan yang anda makan setiap hari seharusnya memberi cukup tenaga untuk membolehkan anda bergerak cergas sepanjang hari tetapi di mana silapnya? 
Mari kita periksa apa yang tidak kena dengan aktiviti harian dan makanan harian anda..



Makan secara sihat 


Anda mungkin makan dengan secukupnya tetapi untuk mengekalkan gaya hidup yang begitu sibuk, anda bukan sekadar perlu makan mengikut masa, malahan juga perlu mengamalkan tabiat makan yang sihat. 
Ini kerana pemakanan yang betul memberi anda segala nutrien penting dan komponen makanan lain yang diperlukan untuk kekal sihat dan cergas sepanjang masa. 

Makan secara sihat bermakna mengambil pelbagai jenis makanan kerana makanan yang berlainan membekalkan tenaga dan kombinasi nutrien yang berbeza. 

Untuk memastikan anda mendapat bekalan tenaga dan nutrien yang secukupnya untuk keperluan harian, anda perlu makan pelbagai jenis makanan yang menggabungkan bijirin, kekacang, buah-buahan dan sayuran, daging, ikan, ayam serta produk susu (dengan penekanan kepada empat kumpulan makanan yang pertama). 

Anda juga perlu mengurangkan pengambilan lemak, gula dan garam. Dan minum banyak air! 

Setelah memahami peranan diet yang pelbagai dan seimbang untuk memastikan anda cergas dan bertenaga, adakah anda tahu apa lagi yang diperlukan untuk memberikan prestasi yang terbaik setiap hari? 


Gerakkan Badan! 



Ya, anda perlu aktif dan bersenam! Kekal aktif adalah sama penting dengan makan secara sihat untuk mengekalkan kesejahteraan secara keseluruhan. Malah, pemakanan yang betul dan aktiviti fizikal perlu seiring kerana diet memberi anda tenaga yang diperlukan untuk kekal aktif. 

Aktiviti fizikal memberi banyak kelebihan. Antara lain, ia membolehkan anda mengekalkan imbangan tenaga kerana aktiviti fizikal membakar kalori untuk membolehkan anda kekal sihat, langsing, dan tidak gemuk. 

Ia juga membantu anda mengekalkan berat badan yang sihat dan memastikan kesihatan kardiovaskular serta kekuatan dan fleksibiliti badan. 

Senaman juga berkesan menghindari pelbagai penyakit, termasuk penyakit kardiovaskular (senaman boleh membantu menguatkan otot jantung), hipertensi (mengurangkan tekanan darah tinggi), diabetes (mengawal paras glukosa darah), obesiti dan osteoporosis. 

Sebagai bonus tambahan, senaman juga mengurangkan tahap stres, memberi anda semangat, tenaga dan menaikkan harga diri. 

Lebih penting lagi, senaman membuat anda kelihatan segak, merasa yakin diri dan berfikir dengan lebih baik! 
Sekarang anda sudah tahu segala kebaikan yang diperolehi dari aktiviti fizikal dan senaman, jadi mengapa anda tidak berusaha untuk menerap amalan sihat ini ke dalam gaya hidup anda? 

Jika boleh, anda patut cuba bersenam sekurang-kurangnya 30 minit setiap hari dalam kebanyakan hari setiap minggu. 
Jika anda berbadan gempal, jangan terus mula berjoging selama 20 minit. Cuba dahulu senaman regangan badan yang ringan atau mula berjalan selama lima hingga 10 minit. 

Tingkatkan intensiti dan tempoh masa aktiviti fizikal atau senaman apabila anda semakin biasa dengan senaman tersebut. Anda juga boleh mulakan program senaman yang lebih berat setelah biasa dengan senaman yang anda mula-mula lakukan. 


Terlalu Sibuk? 


Dengan kekalutan yang menyebabkan anda sibuk sepanjang masa, anda mungkin mendapati sukar untuk meluangkan sedikit masa untuk aktiviti fizikal. 

Tetapi jika anda benar-benar serius untuk menjaga kesihatan, anda pasti boleh mencuri masa untuk bersenam. 

Jadi, jika anda makan secara sihat dan melakukan aktiviti fizikal secara tetap, anda bukan sahaja akan merasa sihat dan nampak berseri-seri, tetapi juga mempunyai cukup tenaga untuk bekerja, berfikir, bergiat aktif dan meneruskan gaya hidup biasa anda setiap hari! 


No comments:

Post a Comment