Pages

Apa yang Anda Cari ?

Friday, 3 October 2014

MAKNA DISEBALIK HARI RAYA KORBAN DAN AMALAN-AMALAN YANG DISUNATKAN


بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ

Mari kita tengok balik apakah makna disebalik hari raya korban. Mungkin ada yang dah ingat-ingat lupa. Mari kita sama-sama hayati peristiwa korban dan juga amalan-amalan yang disunatkan. 

HARI Raya Aidiladha mempunyai makna yang cukup besar kepada seluruh umat Islam di dunia. Ia juga dikenali sebagai hari raya haji, sempena umat Islam yang sedang menunaikan ibadah haji di tanah suci Mekah.

Salah satu keistimewaan Aidiladha ialah ibadat korban. Ibadat korban ini hanya boleh dilakukan dalam empat hari bermula selepas khatib menyampaikan khutbah Aidiladha sehingga sebelum tenggelam matahari pada hari ke 13 Zulhijjah.

Dari segi bahasa, korban bermaksud dekat, manakala dari segi istilah ia bermaksud menjalankan perintah agama atau taat kepada perintah Allah kerana ingin mendekatkan diri kepada-Nya.

Menjelang hari mulia ini juga kita sering teringat kepada sejarah Nabi Ibrahim menyembelih anaknya Nabi Ismail selepas menerima wahyu daripada Allah supaya berbuat demikian. Pada suatu hari Nabi Ibrahim bermimpi, dalam mimpinya itu Allah menyuruh Nabi Ibrahim menyembelih anaknya yang bernama Ismail.

Selepas mendapat mimpi itu, Nabi Ibrahim pun memberitahu isterinya yang bernama Siti Hajar. Maka berbincanglah Nabi Ibrahim, Siti Hajar dan Ismail. Siti Hajar berkata:"Mungkin mimpimu itu hanya mainan tidur saja tetapi kalau mimpi itu merupakan wahyu, wajiblah dituruti."

Apabila mendengar kata-kata ibunya, Ismail berkata kepada bapanya: “"Ayahku, sekiranya ini merupakan wahyu dari Allah SWT, aku sedia merelakan diriku untuk disembelih". Setelah persetujuan dicapai, keesokan harinya Nabi Ibrahim pun membawa puteranya Ismail untuk disembelih.

Perkara Nabi Ibrahim hendak menyembelih anaknya telah sampai kepada pengetahuan orang ramai. Hal ini membuat orang ramai takut sehingga ada yang mengatakan: “"Nampaknya Nabi Ibrahim mungkin sudah gila hinggakan mahu menyembelih anaknya sendiri. Kalau kita biarkan perkara ini, nanti kitapun akan dibunuhnya".

Walau apa pun tuduhan orang terhadapnya, namun Nabi Ibrahim tetap menjalankan tugas yang diperintahkan oleh Allah SWT terhadapnya. Setelah Nabi Ibrahim dan anaknya Ismail sampai pada tempat yang dituju, berkatalah anaknya: “Wahai ayahku, aku fikir cara yang baik untuk menyembelih adalah dengan cara aku disembelih dalam keadaan menelungkup tapi mata ayah hendaklah ditutup. Kemudian ayah hendaklah tahu arah pedang yang tajam dan ayah kenakan tepat kepada leherku."

Kemudian Nabi Ibrahim pun melaksanakan perintah yang Allah SWT perintahkan dalam mimpinya. Baginda pun mengucapkan kalimah atas nama Allah lalu memancungkan pedangnya pada leher anaknya itu. Maka terperciklah darah mengenai badan Nabi Ibrahim. Sebagai seorang manusia biasa, Nabi Ibrahim pun menggeletar dan membuka penutup matanya.

Tetapi alangkah terperanjatnya apabila melihat yang disembelihnya itu bukanlah anaknya melainkan seekor kibas. Dengan memuji kebesaran Allah SWT kedua-duanya pun berpeluk-peluk sambil bersyukur kepada Tuhan kerana memberi kekuatan sehingga dapat melaksanakan amanat daripada Allah SWT.

Seharusnya peristiwa pengorbanan yang dilakukan oleh Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail a.s ini diceritakan berulangkali agar ia tidak dilupakan, terutamanya oleh generasi muda. Berapa ramai agaknya anak muda di zaman ini yang sanggup berkorban merelakan diri disembelih oleh ayah sendiri?

Peristiwa pengorbanan Nabi Ibrahim menyembelih anak kandungnya Nabi Ismail, mempamerkan sifat ketakwaan dan ketaatan seorang hamba Allah demi menegakkan agama Islam walaupun terpaksa mengorbankan anak kesayangan sendiri. 

Peristiwa tersebut memberi makna yang cukup besar terutamanya dalam kehidupan hari ini di mana kebanyakan manusia semakin sibuk mengejar kemewahan dan kesenangan hidup. Pengorbanan bukanlah suatu perkara yang senang dilakukan, sebaliknya ia adalah sesuatu yang amat sukar.



Kedatangan 10 Zulhijah yang penuh kerahmatan, hendaklah disambut dengan berbanyak kesyukuran kerana berjaya melaksanakan ibadat haji, dan bagi mereka yang tidak mengerjakan haji, mereka telah berjaya menunaikan puasa dari 1 – 9 Zulhijjah.
Nabi Muhammad SAW bersabda:  “Tidak ada hari-hari yang lebih disukai oleh Allah di kala Dia disembah daripada sepuluh Zulhijjah.”  (Hadis riwayat Abu Hurairah).

Apabila tiba 10 hari bulan Zulhijah yang lebih dikenali dengan Hari Raya Korban, maka hendaklah pergandakan usaha untuk melakukan ketaatan kerana sesungguhnya ia adalah hari yang paling afdal di sisi Allah SWT dan dijadikan kehormatan pada sebelah siangnya.


Beberapa amalan yang dianjurkan bagi menyambut Hari Raya Korban (Hari Raya Aidiladha) adalah:-


SEBELUM 10 ZULHIJAH

  • Memperbanyakkan takbir dan tahmid kepada Allah.
  • Memperbanyakkan amalan sunat pada malam hari raya Aidiladha.
  • Bersederhana dalam persiapan menyambut raya bagi mengelakkan pembaziran.



PAGI 10 ZULHIJAH

  • Mandi sunat Aidiladha pada pagi harinya.
  • Memakai pakaian baru dan bersih sebagai tanda syukur kepada Allah.
  • Memakai haruman dan wangian yang menyenangkan.
  • Memohon keampunan dan bermaaf-maafan sesama ahli keluarga.
  • Sunat menjamah makan-minum selepas selesai solat Aidiladha.
  • Menggunakan jalan berbeza sewaktu pergi dan pulang dari masjid.
  • Lebih afdal dengan berjalan kaki jika masjid tidak terlalu jauh.
  • Bertakbir, tahmid dan tahlil bermula dari malam 10 Zulhijjah hingga terbenam matahari pada 13 Zulhijjah (Takbir Muqayyad).
  • Bersolat sunat hari raya dan mendengar khutbah penuh penghayatan.
  • Ziarah menziarahi kaum keluarga, jiran tetangga, dan sahabat handai.
  • Bersedekah kepada mereka yang memerlukan.
  • Elakkan sambutan hari raya daripada perkara yang ditegah syarak.



Niat Mandi Sunat Hari Raya Aidiladha:

نَوَيْتُ الْغُسْلَ مِنْ يَوْمِ عِيدِ اْلاَضْحَى سُنَّةً لِلَّهِ تَعَالَى
Daku berniat mandi sunat Aidiladha kerana Allah Ta’ala.


HARI RAYA KORBAN
Aidiladha adalah bagi mengikis kelekaan terhadap keduniaan. Ia juga menilai di antara ketaksuban mencintai harta duniawi atau sanggup mengeluarkan sebahagiannya bagi mendapatkan keredaan Allah SWT.

1. Takbir
Suasana hari Tasyrik bersamaan Hari Raya Korban ini hendaklah dihiasi dengan takbir, tasbih, tahlil, tahmid, beristighfar dan perbanyakkan membaca al-Quran serta memperhatikan maknanya, terutama selepas setiap solat fardu.

Rasulullah SAW menyarankan umat Islam menyambut hari raya dengan banyak memuji kebesaran Allah. Nabi Muhammad bersabda: “Hiasilah hari raya (Aildilfitri dan Aldiladha) kamu dengan takbir, tahlil, tahmid dan taqdis (mengingati dan mengagungkan Allah).”  (Hadis riwayat al-Thabrani).

Pada Hari Raya Haji / Aidiladha disunatkan bertakbir (Takbir Muqayyad) setiap kali selepas solat fardu, bermula dari Subuh Hari Arafah (9 Zulhijjah) sehingga waktu Asar pada hari ke 3 Tasyriq, iaitu 13 Zulhijjah.

اَللهُ أَكْبَرُ اللهُ أَكْبَرُ اللهُ أَكْبَرُ، لآ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَاللهُ أَكْبَرُ، اَللهُ أَكْبَرُ وَالِلَّهِ الْحَمْدُ.   ( × 5/3)
اَللهُ أَكْبَرُ، اَللهُ أَكْبَرُ، اَللهُ أَكْبَرُ، اَللهُ أَكْبَرُ كَبِيْرًا وَالْحَمْدُ لِلَّهِ كَثِيْرًا وَسُبْحَانَ اللَّهِ بُكْرَةً وَأَصِيْلاً، لآ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَلاَ نَعْبُدُ إِلاَّ إِيَّاهُ مُخْلِصِيْنَ لَهُ الدِّيْنَ وَلَوْ كَرِهَ الْكَافِرُوْنَ، لآ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ صَدَقَ وَعْدَهُ وَنَصَرَ عَبْدَهُ وَأَعَزَّ جُنْدَهُ وَهَزَمَ اْلأَحْزَابَ وَحْدَهُ، لآ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَاللهُ أَكْبَرُ، اَللهُ أَكْبَرُ وَالِلَّهِ الْحَمْدُ. 
 Allah Maha Besar sebenar-benar agung, segala pujian bagi Allah. Maha suci Allah pada waktu pagi dan petang, tiada Tuhan yang disembah melain-kan Allah. Dan kami tidak menyembah melainkan kepada-Nya dengan ikhlas hati. Baginya agama walaupun dibenci oleh orang kafir. Tiada Tuhan melainkan Allah yang Maha Esa. Ia membenarkan janji-Nya, membantu hamba-Nya, memuliakan tentera-Nya dan Dia sendiri menewaskan pakatan musuh.


2.  Banyakkan membaca doa Nabi Yunus:

لآ إِلَهَ إِلاَّ أَنْتَ سُبْحَانَكَ إِنِّي كُنْتُ مِنْ الظَّالِمِيْنَ
Tiada Tuhan melainkan Dikau (Allah)! Maha Suci Dikau! Sesungguhnya daku ini dari golongan orang yang aniaya.

Ketika ditelan oleh ikan nun, dalam kegelapan malam dan kegelapan lautan, Nabi Yunus berdoa dengan doa ini. Lalu, Allah menyelamatkannya dan ikan itu memuntahkannya.
Seorang sahabat bertanya kepada Rasulullah saw: “Wahai Rasulullah, adakah doa ini hanya khusus untuk Nabi Yunus atau untuk orang mukmin secara umum?”
Rasulullah menjawab dengan firman Allah bermaksud: “Dan kami selamatkannya daripada kesusahan. Begitu jugalah kami akan menyelamatkan orang mukmin.” (Surah al-Anbiyaa’, ayat 88)


3.  Berdoa Taubat
Perbanyakkan berdoa kehadrat Allah, terutama merayu kepada-Nya supaya Allah mengangkat kemarahan dan kemurkaan-Nya daripada kita.
Kita merayu kepada-Nya janganlah dibalas jika kita terlupa atau tersilap. Merayu kepada-Nya agar Dia tidak menguji kita dengan sesuatu yang tidak mampu dipikul.
Merayulah kepada Allah, agar Dia memaaf, mengampun dan mengasihi kita. Dialah pelindung dan Dialah yang akan memberi kemenangan kepada kita.


4.  Solat Sunat Aidiladha
Solat Sunat Aidiladha dua rakaat adalah sunat muaakkad, yang dilakukan pada waktu pagi 10 Zulhijah. Ia merupakan penghormatan dan kesyukuran kepada umat Islam yang sedang mengerjakan ibadah Haji, di Tanah Suci Mekah.


5.  Ibadah Korban
Aidiladha disebut juga Hari Raya Korban. Kata `Adha’ adalah bentuk jamak daripada kata `dahiyah’ yang bererti haiwan korban. Korban atau udhiah bermaksud menyembelih haiwan tertentu jenisnya daripada ternakan yang dikategorikan sebagai al-an’am iaitu unta, lembu, kerbau, biri-biri dan kambing.

Nabi Muhammad SAW telah bersabda: “Tiada sesuatu amalan anak Adam di hari Nahar (Hari Raya Korban) yang lebih disukai Allah selain menyembelih haiwan korban. Sesungguhnya haiwan itu akan datang pada hari kiamat (sebagai saksi) dengan cukup segala tubuh anggota, cukup bulunya, tanduknya, dan kuku-kukunya. Dan sesungguhnya darah haiwan korban telah terletak pada suatu tempat di sisi Allah SWT. sebelum mengalir ke tanah. Kerana itu berbahagialah dirimu dengannya.”       Hadis Riwayat Tirmizi, Ibnu Majah dan Hakim.

Ibadat korban Aidiladha boleh dilakukan selama empat hari bermula 10 Zulhijjah, iaitu pada Hari Nahar atau Hari Raya Haji (10 Zulhijah) dan pada hari Tasyrik (11,12 dan 13 Zulhijah) kerana bertaqarrub (mendekatkan diri) kepada Allah.


HIKMAH AIDILADHA

Hari menyatakan kesyukuran dengan melakukan kebaikan.
Meninggalkan perkara yang mendatangkan kemurkaan Allah seperti maksiat, kesombongan, pertengkaran, bermasam muka dan sebagainya.


والسلام علبكم و رحمة الله و بركاته





No comments:

Post a Comment