Pages

Apa yang Anda Cari ?

Thursday, 15 May 2014

BUKAN SENANG JADI SURI RUMAHTANGGA

Jangan sesekali memandang rendah dan memperlekehkan seorang surirumah tangga. Amanah berat bukan setakat layan suami tetapi didik anak. 


“KAMI tak kerja, hanya suri rumah sepenuh masa,” itulah kata-kata wanita yang tiada kerjaya tetap di luar rumah.




Seorang pakar motivasi, Dr Robiah K Hamzah, pernah menegur sikap rendah diri suri rumah yang tidak mengaku urusan rumah tangga sebagai kerjaya ketika memberi ceramah di Masjid Bandar Baru Sentul, baru-baru ini.


Menurutnya, memanglah tugas suri rumah tidak diiktiraf sebagai kerjaya kerana ia tidak mendapat gaji tetap setiap bulan. Bagaimanapun, tanggungjawab golongan ini menguruskan rumah tangga, mendidik anak tidak harus diperkecilkan. 


Seseorang suami katanya, patut membayar upah setimpal di atas pengorbanan isteri menguruskan keluarga dengan baik. Bagaimanapun, katanya, wanita yang menjadi suri rumah perlu reda melakukan tugas diamanahkan itu walaupun tidak mendapat ganjaran sewajarnya.


Tugas suri rumah bukan setakat melayan suami dan melahirkan zuriat, tetapi amanah yang dipikul amat berat kerana ia membabitkan usaha melahirkan generasi pewaris negara.


Kerja di rumah tiada pengkhususan seperti dibuat oleh mereka yang bekerja secara formal di pejabat. Malah ada suri rumah bekerja mengatakan, masa rehat sebenar ialah ketika berada di pejabat. Apa tidaknya, celik je mata tanda bermulalah kerja suri rumah dan hanya akan berakhir ketika masuk tidur.


Malah sebelum tidur, seseorang suri rumah sudah merancang apa yang hendak dibuat keesokannya. Perkara pertama yang difikirkan ialah menyediakan sarapan untuk anak dan suami supaya ceria sebelum memulakan tugas masing-masing, kemudian mengemas rumah, membasuh pakaian, ke pasar membeli keperluan untuk sajian tengah hari. 


Waktu senggang bergantung kepada keadaan anak. Kalau anak masih kecil memang tak menang tangan menyediakan keperluan mereka. Itu belum lagi berdepan masalah kesihatan keluarga. Anak yang sakit biasanya lebih memerlukan pemerhatian ibu berbanding bapa. 


Peranan suri rumah sebagai penggerak ekonomi keluarga penting. Jika suami ibarat `Perdana Menteri’ yang mengatur pentadbiran rumah tangga, peranan si isteri pula samalah seperti `Menteri Kewangan’ merangkap ‘Menteri Pembangunan Keluarga’. Jika pandai merancang perbelanjaan harian serta urusan rumah tangga lain seperti ada kepakaran menjahit pakaian, boleh membantu memantapkan ekonomi keluarga.


Memang tidak salah wanita berpendidikan tinggi bekerja di luar sana, tetapi mereka kena pandai memainkan peranan sebagai suri dan wanita berkerjaya. Dalam melaksanakan dua peranan inilah kadang-kadang ada pihak yang terabai.


Golongan yang berpendidikan tinggi memang aset penting kepada negara. Ada sesetengah menganggap rugi golongan yang berpendidikan tinggi tidak bekerja. 


Tetapi jika dilihat banyak kes penderaan kanak-kanak yang ditinggal di rumah pengasuh, gejala sosial membabitkan anak muda, Akak rasa peranan wanita perlu dilebihkan kepada rumah tangga. Tak guna kita memiliki kemewahan hidup dengan wang ringgit berkepuk, tetapi anak kehilangan kasih ibu sendiri. Anak yang sepatutnya disuap ibu, sebaliknya dilayan pembantu rumah atau diletakkan di pusat jagaan. 


Tidak hairanlah apabila dewasa, si anak tidak berasa bersalah membiarkan ibu bapa hidup sendirian kerana menganggap tuntutan tugas lebih penting daripada melayan kerenah orang tua. Jika dulu anak diletakkan di pusat jagaan, kini giliran ibu bapa pula menagih kasih di rumah orang tua. 


Untuk mengelak pusingan roda kehidupan itu menular kita, mengapa tidak kita kembalikan fungsi rumahku syurgaku dengan membetulkan peranan setiap anggota dalam keluarga. Bapa wajar bertanggungjawab memberikan rezeki kepada keluarga bukan menyerahkan tugas mencari rezeki kepada isteri.


Jika kelebihan ada pada isteri untuk bekerja di luar rumah, tak salah juga bagi suami mengambil alih kerja mengurus rumah tangga. Bagaimanapun sudah fitrah, seorang suami ada ego yang menganggap kerja di rumah remeh. Jika mereka tidak mahu imej tercalar kerana mengambil alih tugas suri rumah, mereka patut menunaikan tanggungjawab sebagai ketua keluarga.



Sumber dari: http://www.bharian.com.my

Untuk Maklumat lanjut mengenai Produk Shaklee dan Harga, sila berhubung terus dengan saya di tollgategirl@yahoo.com atau boleh SMS/Whatsapp saya di 017.3725667. Nak call pun boleh...

No comments:

Post a Comment